Rancangan Venture 2002 berpotensi
ke BSKL
Berita Harian - January
14, 2003
RANCANGAN perniagaan yang dipilih untuk menyertai
pertandingan akhir Venture 2002 jika dilaksana dan dibangunkan
dengan sempurna berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Saham
Kuala Lumpur (BSKL).
Pengerusi Eksekutif BSKL, Datuk Mohd Azlan
Hashim, syarikat yang melaksanakan perniagaan terbabit boleh
disenaraikan sama ada di pasaran Mesdaq yang dikhususkan untuk
syarikat teknologi dan yang mempunyai pertumbuhan tinggi atau
di Papan Utama atau Papan Kedua bursa itu.
Beliau berkata, pertandingan mengikut siri
‘Usaha Niaga 2001’ dan ‘Usaha Niaga 2002’
itu adalah penggerak penting dalam mewujudkan budaya keusahawan
di negara ini bagi pembangunan ekonomi negara.
“Dengan persekitaran keusahawanan serta
peluang mendapatkan pembiayaan awal, adalah menjadi harapan
BSKL rancangan perniagaan ini akan berkembang dan akhirnya
(syarikat yang melaksanakannya) disenaraikan sama ada di Mesdaq,
Papan Utama atau Papan Kedua,” katanya pada majlis penyampaian
hadiah pertandingan itu di Kuala Lumpur, semalam.
Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan anugerah
dan hadiah wang tunai kepada 10 pemenang Venture 2002.
Hadiah pertama sebanyak RM25,000 dan piala
dimenangi pasukan Meastro Solutions dengan rancangan perniagaan
bertemakan ‘Supply Chain Robust Planning and Disruption
Management’.
Tempat kedua yang membawa hadiah RM15,000
dimenangi Oceantec (Software to Orchestrate Your Supply Chain
Events), manakala tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000
dikongsi oleh Sherman 3D.com (Massively Multiplayer Online
Development) serta Integrated Methods (Integrated Methods).
Venture 2002 yang dibuka sejak 10 Januari
hingga 6 September tahun lalu menarik 255 rancangan perniagaan
kreatif dalam sektor teknologi maklumat, perkilangan, telekomunikasi,
sains hayat dan elektronik.
Sementara itu, Timbalan Presiden BSKL (Strategi
dan Pembangunan), Abdul Hamid Sheikh Mohamed, ketika ditemui
pemberita selepas majlis itu berkata peningkatan yang berlaku
di BSKL sekarang boleh diandaikan sebagai mencerminkan asas
sebenar pasaran.
Ekonomi negara berada dalam kedudukan yang
baik serta sedang berkembang dan pelabur mungkin merasakan
kini adalah masa terbaik untuk memasuki pasaran secara cergas,
katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
kenaikan di BSKL sejak Jumaat minggu lalu yang dikaitkan dengan
penyertaan Valuecap Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan aset
yang ditubuhkan Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Pencen
dan Khazanah Nasional Bhd dengan modal sebanyak RM10 bilion
ke dalam pasaran.
|